Elemen semantik Radikal aksara Cina

Komponen atau elemen semantik sesuatu aksara itu ialah bahagian yang menyumbangkan erti, dibandingkan dengan maklumat fonetik. Tulisan Cina barangkalinya bermula dengan lukisan pengolahan benda-benda, tindakan atau hubungan yang dilambangkan. Maksudnya, setiap aksara ini mungkin sekali graf semantik yang terdiri daripada satu elemen semantik, seperti 九 jiǔ (asalnya menggambarkan 'siku'), 豆 dòu (sejenis bekas gangsa) atau 象 xiàng ('gajah'). Namun, untuk benda-benda yang sukar digambarkan, adalah lebih praktikal untuk meminjam graf itu untuk sesuatu yang sama atau serupa sebutannya, dalam proses yang dikenali sebagai pinjaman fonetik. Maka, ketiga-tiga graf di atas dipinjam untuk melambangkan 九 jiǔ 'sembilan', 豆 dòu 'kacang', dan 象 xiàng 'imej'. Graf-graf sedemikian tiada elemen semantik per se, sebaliknya kegunaannya cuma fonetik semata-mata. Aksara-aksara juga mula mengambil bentuk gugusan lebih daripada satu elemen, biasanya satu semantik dan satu fonetik. Contohnya, 舢 shān 'sampan' terdiri daripada semantik 舟 zhōu 'perahu' dan fonetik 山 shān 'gunung'. Lama-kelamaan, terdapat pelbagai jenis aksara, ada yang pelbagai elemen semantik atau pelbagai elemen fonetik atau kedua-duanya.

Menjelang dinasti Han, para cendekiawan mula memandang ke belakang dan menganalisa skrip kompleks yang sudah berevolusi. Pada masa itu, proses evolusi sudah berlaku selama sekurang-kurangnya 1,500 tahun, dan struktur dan akar bagi banyak aksara tidak jelas lagi. Xu Shen (Cina Tradisional: 許慎, Cina Ringkas: 许慎, pinyin: Xǔ Shèn; 58-147) dalam kamus bahasa Cina beliau yang berpengaruh, iaitu Kamus Shuowen 15 jilid (Cina Tradisional: 說文解字, Cina Ringkas: 说文解字, pinyin: Shuōwén jiězì; "Menjelaskan Aksara Mudah dan Menganalisa Aksara Rumit"), pada tahun 121, ialah tokoh pertama yang cuba membina satu kamus bahasa Cina yang komprehensif dan juga orang pertama yang mengkatalogkan kira-kira 10,000 aksaranya dalam cara yang sistematik. Dalam proses ini, beliau juga menganalisa setiap aksara, membahagikannya kepada komponen semantik dan fonetik, dan mengenal pasti pinjaman fonetik.